Kerja Operator Kilang RM1,200 Sebulan, Ibu Tunggal 7 Anak Terpaksa Makan Nasi Berlaukkan Bawang

Sara Hidup Dengan Kerja Operator Kilang RM1,200 Sebulan, Ibu Tunggal 7 Anak Terpaksa Makan Nasi Berlaukkan Bawang.Kerja Operator Kilang RM1,200 Sebulan, Ibu Tunggal 7 Anak Terpaksa Makan Nasi Berlaukkan Bawang

“Hanya Tuhan yang tahu betapa beratnya hati saya setiap kali keluar bekerja meninggalkan anak di flat usang ini yang turut menjadi sarang penagih dadah,” kata Nor Azlinawati Muda.

Nor Azlinawati, 38, yang juga ibu tunggal tinggal dengan tujuh anaknya di Flat Cenderai, Megah Ria di sini.

Katanya, sejak berpisah dengan bekas suami pada Julai tahun lalu, dia mula berdikari dan terpaksa menyewa di flat berkenaan atas faktor kewangan.

“Saya bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Tebrau bagi menyara keluarga dengan pendapatan bulanan RM1,200.

“Ia tidak cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga malah ada kalanya, saya terpaksa meminjam wang daripada kenalan,” katanya ditemui di kediamannya semalam.

Dia ditemui pada kunjungan wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor (Maij), Nasir Ishak.

Menurutnya, dia pernah memohon rumah di projek perumahan rakyat (PPR) di Desa Mutiara atau Setia Indah di Tebrau pada awal tahun ini kerana ia berhampiran dengan tempat kerja.

“Ia juga lebih selamat bagi anak-anak. Bagaimanapun, masih tiada maklum balas hingga kini,” katanya.

Nor Azlinawati berkata, anak-anaknya sudah biasa hidup susah malah ada kalanya, mereka hanya makan nasi berlaukkan bawang.

“Perjalanan hidup kami memang susah termasuk pernah terputus bekalan dapur untuk beberapa hari.

Kerja Operator Kilang RM1,200 Sebulan, Ibu Tunggal 7 Anak Terpaksa Makan Nasi Berlaukkan Bawang

“Bagaimanapun, apa yang lebih saya bimbangkan ialah tahap kesihatan anak kembar lelaki berusia dua tahun yang menghidap penyakit kekurangan enzim iaitu Glucose-6-phosphate dehydrogenase’ (G6PD). Mereka sepatutnya makan makanan bernutrisi dan berkhasiat,” katanya.

Nor Azlinawati berkata, pendapatannya digunakan untuk menampung komitmen bulanan seperti sewa rumah berjumlah RM400, bayaran utiliti, perbelanjaan dapur serta keperluan anak.

“Anak sulung perempuan berusia 17 tahun berhenti sekolah lima tahun lalu kerana masalah keluarga dan kini, dia membantu saya menjaga adik-adiknya yang berusia dua hingga 15 tahun.

“Setiap kali keluar untuk bekerja, saya akan berpesan kepadanya untuk menjaga keselamatan adik selain memastikan rumah sentiasa berkunci,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan kepada keluarga ini menerusi akaun bank CIMB di 7068 5567 46 atas nama Nor Azlinawati Muda.

Pada masa sama, Nor Azlinawati bersyukur di atas sumbangan dihulurkan Maij.

“Saya amat bersyukur dan berharap dapat menaik taraf kehidupan keluarga pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Nasir berkata, pihaknya menyalurkan bantuan segera RM500, barangan elektrik dan barangan dapur kepada keluarga berkenaan selain akan mempertimbangkan bantuan sara hidup bulanan.

Sumber: Harian Metro

Facebook Comments Box

Leave a Reply