Berlakon Lebih 3 Dekad,Pelakon Terkilan Ditawar RM500 Untuk 2 Episod Drama

Pelakon dan pelawak, Syanie Hisham, 47, terkilan apabila kredibilitinya sebagai pelakon berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang lakonan tidak dipandang golongan penerbit.Berlakon Lebih 3 Dekad,Pelakon Terkilan Ditawar RM500 Untuk 2 Episod Drama

Sebaliknya, Syanie terkejut apabila syarikat produksi melihat kepada jumlah pengikut dalam laman sosial sebelum menawarkan projek lakonan.

Syanie yang bakal muncul dalam filem Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi berkata, pengalaman yang dimiliki sebagai pelakon lebih tiga nekad seakan tidak bermakna apabila pernah ditawarkan bayaran sebanyak RM500 bagi menjayakan dua episod drama.

“Saya bukan bersikap besar kepala, tetapi hendak tawarkan harga pun biarlah berbaloi dengan pengalaman saya dalam industri seni. Saya bukan berlakon drama sahaja, tetapi berapa banyak filem sudah dijayakan.

“Inilah silapnya, semakin berpengalaman seorang artis, semakin murah harga yang diterima di Malaysia. Bagi saya, sekiranya tiada bajet, jangan panggil artis. Lebih terkilan, apabila kita menolak, pengurus produksi kata sudah ada pengganti yang lain. Jika begitu, kenapa dari awal tidak panggil mereka sahaja?” kata Syanie

Syanie berkata, dia tidak marah atau sedih, sebaliknya perasaannya lebih kepada terkilan. Lebih menyedihkan, perkara pertama yang diajukan pengurus produksi berapa jumlah pengikut dalam Instagram (IG).

Katanya, dia faham sekiranya ditawarkan watak utama, namun tidak menyangka syarat itu turut diguna pakai untuk watak pembantu atau tambahan.

Berlakon Lebih 3 Dekad,Pelakon Terkilan Ditawar RM500 Untuk 2 Episod Drama
“Saya kurang jelas siapa sebenarnya yang sibuk menghitung pengikut? Adakah stesen televisyen (TV) yang meletakkan syarat atau syarikat produksi? Saya faham untuk watak utama, tetapi jika sekadar watak pelakon pembantu ataupun tambahan, perlu ke pengikut juta-juta?

“Kalau begitu nampaknya sampai bila-bila pun saya tidak dapat peluang berlakon. Saya sudah berada dalam industri lebih 30 tahun. Jika saya mampu bertahan selama ini, bermakna kerja saya memang bagus. Bukan nak cakap saya hebat, tetapi jika saya bertahan, takkanlah kredibiliti saya diletakkan begitu rendah dengan diukur kepada jumlah pengikut dalam IG,” katanya dengan terkilan.

Syanie ditemui pada Malam Aspirasi dan Anugerah Vieura 2020 anjuran Vieura Group di Bangi Avenue Convention Centre, baru-baru ini. Turut serta, Saiful Apek, Mawi, Along Cham, Zalif Sidek, Bell Ngasri dan Anas Tahir.

Akuinya, dia sudah lebih dua tahun tidak menerima tawaran lakonan, kali terakhir muncul dalam drama Budak Usin.

Katanya, dia tidak akan melakukan sesuatu yang mengaibkan dirinya semata-mata untuk menjadi tular, sekali gus dapat menaikkan jumlah pengikut dalam IG.

“Walaupun kandungan mengarut lebih cepat mendapat perhatian dan boleh membantu menaikkan jumlah pengikut, tetapi itu bukan prinsip hidup saya. Pengikut saya sekarang adalah peminat setia, bukannya dibeli.

“Jika syarikat produksi ingin memilih pelakon berdasarkan jumlah pengikut, terpulanglah kepada mereka. Tetapi, kebanyakan individu yang memiliki jumlah pengikut ramai ini, mereka hanya boleh berlakon untuk kandungan media sosial sahaja, bukan untuk drama,” katanya yang hanya memiliki lebih 80,000 pengikut dalam IG.

Bagaimanapun, Syanie berkata, akaun IG digodam selepas seminggu terjadi kepada pelakon, pelawak dan pengacara, Didie Alias, baru-baru ini. – BH Online

Facebook Comments Box

Leave a Reply