Demi menguji keutuhan cinta mereka, pasangan kekasih Ukraine yang menggari tangan mereka dengan rantai besi pada Februari lalu akhirnya memutuskan gari mereka dan berpisah.
Dirantai bersama sejak Hari Valentine selama 123 hari, Alexander dan Viktoria membuat keputusan untuk memutuskan gari mereka pada 17 Jun lalu.
Mereka memotong rantai besi itu di hadapan Monumen Perpaduan di ibu negara dengan satu pemotong besi yang besar dan mereka kelihatan tenang ketika melakukannya.
Bukan itu saja, Victoria dilaporkan berteriak gembira setelah rantai besi itu dipotong dan berkata bahawa dia akhirnya bebas.
Alexander yang mengucapkan perkara yang sama turut berterima kasih kepada penyokong mereka sepanjang perjalanan mereka berdua bersama.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong kami. Lihatlah, kami sekarang berjauhan dari satu sama lain.
Kami gembira dapat memiliki pengalaman ini di dalam hidup,” kata Alexander.
Terdahulu, pasangan ini menggari diri bersama sebagai satu eksperimen untuk mencipta rekod kebangsaan.
Walau bagaimanapun, eksperimen demi cinta ini akhirnya memakan diri mereka dan menyebabkan hubungan mereka menjadi teruk sehingga mereka membuat keputusan untuk berpisah.
Menurut pasangan itu, eksperimen mengikat diri mereka bersama sepanjang masa ini sebenarnya amat memenatkan kerana tiada ruang privasi.
“Sebaik saja kami nampak satu kebaikan dalam sesebuah situasi, terus kami nampak dua keburukannya.
Vika (Victoria) mahukan kehidupannya yang dulu dan dia rindu untuk buat perkara yang dia suka dengan caranya sendiri.” ujar Alexander.
Laporan juga mengatakan Victoria terpaksa berhenti kerja sebagai pembuat bulu mata palsu kerana pelanggannya tidak suka dengan kehadiran Alexander.
Disamping itu, pasangan ini juga telah mengalami luka di pergelangan tangan sehingga bernanah akibat gari besi mereka.
Akibat ketidakserasian mereka semasa digari, mereka membuat keputusan untuk tidak meneruskan pelan perkahwinan mereka dan berpisah setelah memutuskan gari tersebut.
Namun, pasangan ini bangga dengan rekod mereka sebagai pasangan paling lama digari bersama.
Kredit: I am Lejen