Dua pasangan yang bayi mereka tertukar di sebuah hospital swasta di Shah Alam, semalam, berhasrat mengambil tindakan undang-undang.
Usahawan dalam talian Siti Suriani Wahiddin, 23, mendakwa dia kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak hospital yang menyerahkan bayinya kepada pasangan lain tanpa membuat pemeriksaan teliti.
Menurutnya, apa yang dibimbangi adalah keadaan kesihatan bayi baru dilahirkan itu dibawa keluar dalam tempoh kurang 12 jam.
“Saya melahirkan bayi lelaki pada 2.36 pagi Jumaat lalu dan diletakkan di bawah jagaan hospital. Pada 8.30 pagi, saya minta nak lihat bayi dan jururawat bawa masuk ke bilik. Saya menyedari wajah lain tapi tidak mengesyaki apa-apa kerana katil bayi tertera nama saya.
“Saya dibenarkan pulang ke rumah petang semalam. Kami menyedari bayi itu bukan anak kami ketika suami mahu memotong tanda nama pada kaki bayi itu dan mendapati ia milik wanita lain,” katanya
Siti Suriani atau lebih dikenali sebagai Siti Jamumall dan suami, Mohammad Syafiq Irfan Azman, 23, yang menetap di Setia Alam, Selangor, menghubungi hospital memaklumkan kejadian.
Katanya, mereka kemudian diminta ke hospital untuk proses pertukaran semula bayi selepas pihak terbabit berjaya mengesan ibu bayi itu.
“Bagai nak gugur jantung saya apabila pihak hospital sahkan bayi saya tertukar. Namun saya bersyukur bayi saya dijaga oleh pasangan yang baik.
Sudah rujuk peguam dan buat laporan polis
“Pagi ini saya ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Saya harap pihak hospital bertanggungjawab dan saya akan merujuk kes ini dengan peguam untuk tindakan susulan,” katanya yang sudah membuat laporan polis.
Kejadian itu tular di media sosial selepas Siti Suriani membuat perkongsian di Facebook (FB) Live bermula 7.40 malam tadi.
Sementara itu, usahawan Diana Hanani Abdullah, 23, turut kecewa dengan insiden itu yang menyebabkan emosinya terganggu.
Menurutnya, dia melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di hospital sama pada 3.02 petang 10 Jun (Khamis) dan dibenarkan pulang ke rumah di Puncak Alam, Selangor, pada 12 tengah hari kelmarin.
“Saya hanya mengetahui bayi tertukar apabila pihak hospital menghubungi saya malam tadi. Saya sangat terkejut lalu minta suami ambil tanda nama anak yang sudah dibuang dalam bakul sampah dan mendapati tertera nama Siti Suriani.
“Kami terus ke hospital malam tadi. Proses pertukaran semula bayi berlaku dalam suasana penuh emosi kerana sudah menyayangi bayi dijaga seperti anak sendiri,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama untuk tindakan susulan.
Hospital swasta yang dimaklumkan ibu bayi terbabit telah dihubungi, namun jurucakap hospital terbabit menafikan kejadian itu berlaku di hospitalnya.
Sumber: Harian Metro