Satu hari Aku Tumpangkan Makcik Tua Balik Ke Rumah. Dalam Kereta, Ini Yang Berlaku Antara Kami Buatkan Aku Insaf. Ramai anak-anak yang bekerja jauh di bandar. Oleh kerana itu,mereka tinggal berjauhan dengan ibu bapa.
Anak-anak sibuk menguruskan hal-hal kehidupan sehingga kadang-kala lupa akan ibu bapa di kampung. Ingatlah,setiap ibu bapa pasti ternanti-nanti kepulangan anak-anaknya di kampung. Mereka sunyi hidup sendiri.
Tiada lagi telatah comel,gelak ketawa dan pergaduhan manja diantara anak-anak. Mereka rindu dengan suara anak-anak.Wahai anak,hargailah ibu bapa sementara masih ada.
Begitulah kisah sedih yang dikongsikan oleh saudara Khairul Hakimin.Muhammad. Kisah luahan ibu yang terlalu rindukan anak-anaknya. Jom ikuti kisah berikut.
Awal pagi tadi sempat ke pasar. Alang-alang cuti hari ini, saya ambil peluang untuk beli barang dapur serba sedikit. Masa saya sedang membelek cili-cili, ada seorang makcik berdiri di sebelah. Kemudian saya memegang dua tiga kuntum bunga kantan. “Ambil yang dah nak kemerah-merah, baru sedap. Kau nak masak asam pedas?” Tanya makcik tersebut. Saya pun angguk beriya.
Saya terus ambil seikat daun kesum. Makcik itu juga. Kami senyum sendiri. “Makcik pun nak masak asam pedas?”
“Ha ah, anak aku nak balik malam karang!” Dia ketawa dan kemudiannya terus memilih ikan-ikan.
Ayam yang saya pesan pun dah siap dipotong kecil, semua sayur-sayur, ikan, udang, sedikit barang kering sudah pun saya isi baik-baik ke dalam bakul. Terus saya meluru beratur di kaunter. Makcik tadi di hadapan saya. Kami saling memberi senyum.
“Kau masak guna ikan apa?”
“Kerisi makcik. He he memang dah ada kat rumah dah,”
“Alah, tak sedap langsung! Ni ha tengok aku beli ikan merah, cengginihaaa!” Beliau tunjuk ibu jarinya. Kami ketawa lagi.
Sampai sahaja giliran makcik tersebut di kaunter, Subhanallah banyak bebenor dia membeli. Lepas satu beg, satu beg diisi. Beliau mengangkat dan letakkan di tepi kakinya dua tiga beg plastic yang telah dikira. Saya perhatikan sekeliling, tak mungkin beliau ini datang seorang.
Beliau kemudiannya mengangkat semua beg plastic yang saya kira lebih dari tiga itu dan berjalan keluar dari kedai. Saya pula membuat bayaran. Usai sahaja saya pun membawa dua plastic kecil saya menuju ke kereta. Makcik tadi berdiri di luar kedai, saya pun terus memberi senyum sekali lagi. Saya membuka boot kereta, meletakkan barang dan
“Nak, aku tumpang kereta kau boleh nak? Rumah aku sana tu je, aku lupa aku jalan kaki hari ni. Ha ha ha” dia ketawa. Saya pun terus kata boleh boleh dan mendapatkan semua barang-barang beliau dan letakkan di dalam kereta.
Beliau mahu duduk di belakang, saya pun minta beliau tunjukkan jalan. Baru mahu mulakan enjin kereta, beliau sudah bertanya saya orang mana, sudah berkahwin atau belum dan sudah ada berapa orang anak. Saya jawab satu demi satu.
“Minta maaflah menyusahkan kau, nama kau siapa?” Tanya beliau. Saya pun jawab, Khairul.
“Laki aku tu dah penat-penat sekarang. Biaulah dia tidor,” Terus saya dapat tangkap. “Makcik orang Melaka?”
“Ha ah betul! Pandai kau!” Saya pun ketawa. Banyaknya makcik beli barang, ramai ke anak-anak nak balik?” Tiba-tiba beliau diam. Saya pun pandang cermin belakang, beliau hanya memandang ke luar.
“Seorang je. He he. Itu pun ada menda tah dia kata ada ada urusan di KL. Bolehlah makan asam pedas ni kang. Dia suka sangat asam pedas,”
O…oo..” Saya menjawab.
“Entahlah. Ada empat orang anak. Nak harap sorang telefon setiap hari pun tak ada.” Katanya perlahan-lahan. Saya juga cuba bawa kereta seperlahan mungkin. Pasti ada sebab kenapa Tuhan temukan saya dengan beliau hari ini.
“Semua dah berjaya Khairil. Itu ajalah aku doa. Seronok. Yang lain aku tak seronok. Dah macammana nak seronok, aku ni rindu anak-anak. Dahlah aku berhenti kerja, anak aku beza umur tak jauh 4-4 tu. Masa muda fokus besarkan diorang ni. Dah tua, diorang fokus kehidupan diorang dah. Aku ni tunggu mati aja,”
“Kau nanti hidup dah tua, macam ni lah. Anak-anak kau sibuk uruskan kehidupan. Kau pulak sunyi sepi. Kalau kita mintak diorang ni duduk dekat-dekat. Katanya kita ni bizi bodi. Ada yang seorang tu, siap pindah pun tak nak bagitau kita. Tak apalah, kau dah kaya banyak duit. Aku tak hadaplah. Kalau kau balik rumah aku, aku layan kau baik-baik, aku tetap teringin nak peluk kau. Nak kau cium tangan aku, aku nak rasa tangan kau macam mana tangan kecik kau tu aku ramas-ramas masa kau baby dulu. Kau tetap anak aku walau kau rasa aku mak yang tak baik,”
“Bebudak sekarang ni tak merasa macam mana kita susah dulu. Sikit-sikit bagi alasan zaman dah lain. Kau lahir dulu, aku jaga kau sendiri. Susukan kau sendiri. Bapak kau tahan badan dia belakang badan aku, supaya aku panas jugak nak susukan kau masa kau menangis jaga malam-malam. Budak sekarang apa tau? Kita tegur sikit tak menyusu badan, terus tarik muka. Dalam pantang terus sibuk nak balik rumah sendiri. Merajuk dengan kita. Apa ingat yang keluar dari mulut aku ni najis najis ke kau jijik sangat?”
Saya terdiam. Alamak. Dalam senggang beberapa saat, saya kembali cuba bersembang.
“Tu ada yang nak balik tu, mesti makcik seronok kan?”
Dia angguk. Dan tunduk. Kami pun sampai di hadapan rumahnya. Ada seorang lelaki berusia memang dah tunggu depan gril rumah. Lekas dia mengambil selipar dan berjalan membuka pagar rumah. Saya lekas keluar, bersalam dan angkat semua barang-barang makcik tadi.
“Khairil, jangan ambik hati ya. Ha ha, biasalah orang tua tak boleh control mulut. Nak cerita. Ha ha ha terima kasih banyak!” Saya pun jawab sama-sama, dan betulkan nama saya Khairul bukan Khairil. Mereka ketawa sahaja. Terus saya masuk kereta dan menuju balik ke rumah.,
Saya duduk diam-diam. Bawa kereta perlahan-lahan. Tak puas hati dengan penjelasan makcik tadi. Nak tanya lelebih saya tak berani. Cukup saya katakan yang beliau sedang rindu kepada anak-anaknya.
Saya tak mengetahui apa yang terjadi antara mereka. Cuma kawan, melihat beliau seronok membeli di pasar bersama saya, saya pasti beliau sangat-sangat gembira ada anak yang akan pulang ke rumahnya.
Dari wajahnya membelek-belek ikan. Memilih bunga kantan dengan bersungguh-sungguh mahukan yang paling berkualiti, kemudian diselak-selak satu demi satu batang daun kesum. Masya-Allah beliau nampaknya sedang dilamun cinta.
Cinta emak pada anak-anak.
Kau tahu kawan,
Manusia yang kau tak tahan dengan bebelnya, luahannya, ceritanya, kisahnya, nasihatnya atau apa sahaja yang keluar dari mulutnya itu adalah emak kau sendiri. Yang satu masa lalu dialah yang paling gembira dan menjadi penyeri dalam hidup kau. Yang ajar kau tentang bercakap, ajar kau tentang berjalan, mengira, membaca waima cara kau menyikat rambut menjadi sekacak hari ini.
Emak kita memang ada banyak kekurangan. Mungkin tidak secanggih kita dengan gadget bagai. Ketinggalan zaman. Malah senang sahaja untuk kau cakap, zaman tak sama. Cuma kawan, walau banyak-banyak perbezaan pendapat dengan emak, emak tetap emak. Yang kau tak jumpa seperti mana kau boleh jumpa dan bertukar kawan-kawan.
Kawan, jika kau pernah merajuk begitu begini dengan emak kau sendiri. Kau ketahuilah apa yang beliau nasihatkan adalah untuk kau pula jadi emak nanti. Tidak nanti, saat kau diuji dengan perangai anak kau, kau menyesal kau pernah lakukan perkara sama begitu dengan emak kau sendiri satu masa lalu. Baiki mana yang sempat. Cium tangan. Peluk erat-erat.
Pulanglah. Gembirakan mereka. Dan kau lihatlah emak kau akan senyum ceria. Sedang Tuhan memerhatikan kau, kau pula dicampakkan olehNya perasaan seronok, gembira dan bahagia selepas itu.
Ingat kawan, gembirakan ibu bapa adalah menggembirakan Tuhan.
Amin.
Sumber : Khairul Hakimin. Muhammad