Kalau sekilas pandang, mungkin ada yang sangkakan ianya belon atau beg plastik yang berisi angin, tetapi sebenarnya bukan malah ianya merupakan benda hidup!
Hidupan ini juga malah boleh membahayakan nyawa manusia! Hidupan unik ini sebenarnya merupakan sejenis obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese man o’ war (physalia cnidaria).
Di Malaysia, Portuguese man o’ war ini pernah dilaporkan ditemui di Pantai Pulau Kekabu Marang, Pantai Pengkalan Maras dan Pantai Telok Ketapang pada tahun 2020.
Hidupan laut dalam spesies obor-obor yang dikategorikan dalam filum cnidaria ini memiliki ribuan sel penyengat berbisa.
“Physalia adalah haiwan yang dikategorikan dalam filum cnidaria bersama-sama obor-obor di mana ia tidak boleh berenang dan bergantung kepada arus.
“Haiwan ini mempunyai ribuan sel penyengat yang boleh menyebabkan rasa sakit melampau jika terkena pada badan”
Ia mempunyai sesunggut yang panjang dan nipis dengan ukuran boleh mencecah 165 kaki. Sesunggut ini diliputi oleh racun yang digunakan untuk melumpuhkan dan membunuh ikan dan makhluk kecil lain. Bagi manusia, sengatan Portuguese man o’ war ini adalah sangat menyakitkan dan boleh menyebabkan badan kita mengeluarkan bintik-bintik merah, lumpuh dan tidak mustahil membawa kepada kematian (meskipun jarang berlaku).
Selain itu, Portuguese man o’ war yang sudah mati dan dihanyutkan ke pantai juga boleh menyebabkan sengatan berlaku jika disentuh.
Hidupan ini akan terapung pada permukaan dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain bergantung kepada tiupan angin.Tiupan angin kencang dan ombak kuat menyebabkan hidupan ini terdampar ke persisiran pantai lalu membahayakan manusia.
Oleh itu, jika anda menemui Portuguese man o’ war ini di pantai, meskipun rupanya sangat cantik dan menakjubkan, jangan sesekali cuba untuk menyentuhnya jika tidak mahu berakhir di hospital atau klinik.