Gurun Sahara merupakan gurun panas terbesar di dunia dan menyimpan pelbagai misteri yang sehingga kini menjadi tanda tanya. Antaranya adalah satu fenomena formasi misteri yang dikenali sebagai Mata Sahara (The Eye of Sahara) iaitu formasi besar yang berbentuk seperti ‘mata lembu’ yang terdapat di permukaan luas gurun Sahara.
Namun tahukah anda formasi ini hanya mampu dilihat dari ruang angkasa dan sangat sukar untuk dikesan jika berada di permukaan tanah gersang itu.
Dikenali sebagai The Eye of Sahara atau Richat Structure, ia mula dikesan oleh para angkasawan ketika misi Gemini IV pada tahun 1965. Formasi geologi itu terbentang di kawasan pasir seluas 40 kilometer di negara Mauritania.
Imej jelas yang memaparkan formasi itu seterusnya dirakam oleh satelit Landsat dengan pendedahan maklumat mengenai ukuran, tinggi dan luasnya.
Penemuan bentuk misteri tersebut pastinya menimbulkan persoalan dan teori dalam kalangan penduduk di dunia sehingga ada yang mendakwa bahawa ia merupakan sebahagian dari kota Atlantis yang hilang.
Pun begitu, ahli geologi telah merungkai segala persoalan tersebut berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan ke atas permukaan struktur itu.
Pada awalnya, ahli geologi percaya bahawa The Eye of Sahara merupakan kawah hentaman asteroid dan letusan gunung berapi tetapi tidak ada bukti yang terarah pada kedua teori itu.
Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan pada batu yang terdapat di dalam struktur itu menunjukkan bahawa ia merupakan earth-based sepenuhnya iaitu terhasil daripada proses geologi.
Disebabkan itu, mereka juga telah membuat kesimpulan bahawa ia merupakan kubah geologi (geologic dome) yang mengandungi batuan yang berusia sekurang-kurangnya 100 juta tahun iaitu tidak lama sebelum munculnya kehidupan di bumi.
Batu-batuan ini termasuk endapan igneus (lapisan gunung berapi) serta lapisan sedimen. Beberapa tahun yang lalu pula, ahli geologi menemui beberapa jenis batuan beku di kawasan pembentukan mata itu termasuk yang dikenali sebagai kimberlite, carbonatites, basalt hitam dan rhyolites.
Batu-batu kuno yang terdapat dalam kubah geologi itu telah memberikan maklumat kepada para penyelidik mengenai asal usulnya.
Pembentukannya yang paling awal adalah bermula ketika Pangea (superbenua) mula terpisah. Ketika Pangea pecah, perairan Lautan Atlantik mulai mengalir ke wilayah ini. Ia menyebabkan berlakunya tolakan dari dalam magma dan mantel bumi sehingga membentuk kubah berbatu dengan bulatan yang dikelilingi oleh lapisan batu pasir.
Keunikannya itu menjadi daya tarikan buat pelancong dan ahli geologi tetapi disebabkan ia berada di kawasan gurun yang kering dengan curahan hujan yang sedikit, ia tidak ‘diancam’ oleh manusia.
VIDEO:
Sehingga ke hari ini, ia masih dianggap tempat yang sangat bermisteri dan menjadi perdebatan ramai yang mengeluarkan teori dan pendapat masing-masing.
Sumber: Siakapkeli