Penyanyi Syura Badron tampil menjelaskan kekeliruan orang ramai terhadap pembayaran RM200,000 seperti yang dituntut penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana susulan didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
Syura berkata, wang tunai RM200,000 yang diminta Siti Nordiana atau mesra disapa Nana itu, bukan bayaran saman yang perlu dilunaskannya.
“Nampaknya masih ramai yang tak faham. Pembayaran RM200,000 setiap seorang itu bukan saman sebab kami tak mohon maaf.
“Selain dari minta maaf, pembayaran RM200,000 itu salah satu tuntutan yang perlu dibuat dalam tempoh 24 jam.
“Sekiranya kami tidak membuat permohonan maaf berserta bayaran RM200,000 barulah tindakan saman akan diteruskan. Harap faham ye semua,” katanya.
Terdahulu, Siti Nordiana meminta lima individu termasuk penyanyi Lan Solo, Syura, isteri kepada Lan iaitu Sheila Hassim, Pegawai Perhubungan Awam, Sam Samin serta jurusolek Aida G untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar RM200,000 setiap seorang dalam tempoh 24 jam.
Notis tuntutan bertarikh 26 Julai itu antara lain menyatakan rasa terkejut dan dukacita Nana terhadap kelima-lima mereka kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
Kenyataan yang dilemparkan itu juga dikatakan memberi kesan negatif kepada orang ramai dan penaja produk Nana hingga menjejaskan reputasinya.
Mereka didakwa menyiar, mengeluar dan menerbitkan kenyataan-kenyataan secara umum yang berunsur fitnah dan tidak benar terhadap Siti Nordiana.
Dalam pada itu, Nana dalam satu kenyataan memaklumkan dia terpaksa meneruskan tindakan saman terhadap kelima-lima individu itu selepas tiada permohonan maaf secara terbuka seperti yang dituntut.
Nana berkata, pihaknya akan memfailkan tuntutan saman kepada mereka selewat-lewatnya 2 Ogos ini.
Bagi menjalankan tindakan undang-undang diambilnya, Siti Nordiana melantik firma guaman dari Tetuan Abang Azlan & Associates yang diwakili peguamnya, Abang Azlan Abang Ariffin.
Sumber: Harian Metro