KUALA LUMPUR: “Sejujurnya saya sangat sedih dan kecewa dengan kenyataan itu”. Demikian luah pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin berhubung dakwaan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Dewan Negara pada Khamis.
Terdahulu, ahli Parlimen Padang Besar itu mendakwa kisah diceritakan pelajar terbabit dalam YouTube adalah palsu dan sekadar untuk menaikkan nama sendiri, sebelum memohon maaf menerusi status di akaun Facebook rasminya beberapa jam kemudian.
Jelas anak kelahiran Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah itu, dia berusaha bersungguh-sungguh sehingga terpaksa memanjat pokok dan bukit semata-mata untuk menjalani peperiksaan dalam talian beberapa bulan lalu itu.
“Saya bekerja keras untuk menjalani peperiksaan dalam talian beberapa bulan lalu dan saya tidak menyangka ia akan tular sedemikian rupa.
“Kali ini, berita mengenai saya tular lagi tapi dengan kesan yang tidak baik,” tulis Veveonah dalam akaun Facebook miliknya.
Kata pelajar jurusan Asasi Sains itu, dia tidak pandai untuk memberi reaksi terhadap komen-komen positif mahupun negatif di media sosial.
“Ia menyakitkan. Saya tetap memaafkan semua kesalahan orang lain terhadap saya tapi saya perlu membuat kenyataan yang adil mengenai diri saya.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong saya termasuk keluarga, kawan-kawan, para pensyarah dan pengikut saya,” katanya. – Astro Awani