Menggemparkan apabila seorang pemandu bot menemui bayi perempuan berusia tiga minggu di dalam kotak kayu terapung di Sungai Gangga di Uttar Pradesh, India.
BBC melaporkan kisahnya bermula apabila pemandu berkenaan, Chaudhary yang kebetulan berada di kawasan itu terdengar bunyi tangisan bayi.
Chaudhary yakin ia datang daripada sebuah kotak yang terapung dan dia membukanya sebelum menemui bayi di dalamnya.
Ketika ditemui, bayi berkenaan dialas dengan kain berwarna merah.
Tanpa berlengah, lelaki itu menyelamatkan bayi berkenaan dengan mengeluarkannya dari kotak itu dan membawanya pulang ke rumah.
Polis kemudian datang mengambil bayi itu sebelum menyerahkannya kepada pihak jabatan kebajikan masyarakat.
Wakil jabatan kebajikan masyarakat kemudiannya membawa bayi itu ke hospital untuk pemeriksaan sebelum dibawa ke pusat perlindungan. Siasatan awal belum dapat mengenal pasti motif bayi itu dibuang,
Bagaimanapun, media melaporkan ia kemungkinan ada kaitan dengan mentaliti individu yang menganggap bayi itu membebankan. Ia lazimnya berlaku dalam kalangan masyarakat miskin.
Sementara itu, Ketua Menteri Yogi Adityanath menzahirkan pujian kepada Chaudhary kerana menyelamatkan bayi berkenaan.
Katanya, kerajaan akan memberi ganjaran kepada Chaudhary iaitu rumah sebagai tanda penghargaan di atas sikap perikemanusiaannya.
Sumber: Harian Metro