“SAYA hanya sedar ia sebenarnya bukan kedai makan sebaliknya rumah orang ketika bertanya harga makanan sebaik selesai menjamah nasi dagang bersama teh tarik,” kata Mohd Karbi Mominin, 51.
Mohd Karbi berkata, kejadian tidak disengajakan itu berlaku selepas dia singgah di sebuah rumah yang disangkanya kedai makan di Kuala Berang.
Menurutnya, ketika itu keadaan dirinya terlalu penat dan lapar selepas mengayuh basikal lebih 70 kilometer dari Tasik Kenyir ke Kuala Berang pada hari pertama Hari Raya Aidiladha.
Katanya, dia menyangka rumah itu adalah kedai makan disebabkan susun aturnya yang mempunyai ruang makan terbuka lengkap bersama meja makan seperti di gerai makan.
“Sebelum itu, saya hanya menjamah makanan pada sebelah malam (Khamis) dan selepas Subuh (Jumaat) terus mengayuh basikal tanpa makan.
“Keadaan itu menyebabkan saya terlalu penat dan tidak dapat berfikir dengan betul apabila terlihat rumah itu seperti kedai makan.
“Ketika itu ada dua wanita, seorang lelaki dan seorang kanak-kanak yang disangka ‘pelanggannya’,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.
Antara lokasi persinggahan Mohd Karbi selepas memulakan perjalanan dari Hulu Klang ke Terengganu selama empat hari sejauh 602 kilometer. Foto Ihsan Mohd Karbi Mominin
Mohd Karbi berkata, dia pula menyangka rumah itu menjual nasi dagang lalu terus memesan makanan berkenaan dan lebih memalukan apabila seorang wanita menyendukkan nasi buatnya.
“Ketika itu mereka pun tidak berkata apa-apa, tambahan saya pula jenis yang suka bercakap dan banyak bercerita dengan anak pemilik rumah itu.
“Namun, saya mula rasa pelik apabila makcik itu menghantar secawan teh tarik sedangkan saya tidak memesannya,” katanya.
Katanya, selepas selesai makan dan ingin membuat bayaran barulah mula menyedari kesilapan dirinya dan mula rasa malu.
“Apa-apa pun saya ingin beritahu keluarga terbabit sangat baik dan makanan (nasi dagang) memang sedap,” katanya.
Terdahulu, Mohd Karbi mengayuh basikal dari Hulu Klang, Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung di Terengganu sejauh 602 kilometer selama empat hari dan pulang semula ke Kuala Lumpur hari ini. – Harian Metro