Milan: Sebuah perkampungan di Itali yang sebelum tersembunyi di bawah dasar sebuah tasik selama beberapa dekad dilaporkan kini dapat dilihat semula.
Sebelum ini, desa itu tidak pernah dapat dilihat selama 70 tahun kecuali menara gereja abad ke-14 yang dilihat di permukaan tasik berkenaan.
BBC melaporkan Curon yang pernah menjadi tempat tinggal beberapa ratus orang ‘lenyap’ selepas ia tenggelam susulan pembinaan empangan hidroelektrik pada 1950.
Empangan itu menyatukan dua tasik yang terletak di kawasan berhampiran.
Namun, ia kini dapat dilihat selepas tasik yang terletak di sempadan Itali, dengan Austria dan Switzerland itu dikeringkan untuk sementara waktu.
Berdasarkan foto terkini yang dikongsi pengguna media sosial, ada banyak kesan penempatan manusia di kampung lama itu termasuk tangga, bilik bawah tanah, dan dinding bangunan.
Ia sebelum ini ‘terkubur’ di dasar tasik itu.
Seorang pengguna media sosial, Luisa Azzolini yang berasal dari wilayah berkenaan berkata, dia berasa amat pelik apabila dapat berjalan di celah runtuhan bangunan lama di kampung itu.
Menurut BBC, kampung itu ‘lenyap’ selepas pihak berkuasa memutuskan untuk membina empangan, meskipun menerima bantahan penduduk pada masa itu.
Projek itu menyebabkan lebih 160 rumah penduduk ditenggelami air dan menyebabkan penduduknya terpaksa berpindah ke tempat lain.
Ada juga sebahagian daripada penduduk tinggal di kampung lain di kawasan berhampiran.
Hari ini, kawasan di sekitar tasik itu amat popular dengan mereka yang suka melakukan aktiviti rentas denai pada musim panas.
Pada musim sejuk, pengunjung boleh menyeberang tasik itu apabila airnya membeku.
Kredit: Harian Metro