Orang ramai dikejutkan dengan satu fenomena kejadian gunung berapi lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu yang dipercayai meletus waktu pagi semalam.
Kejadian gunung berapi lumpur itu telah memuntahkan lumpur dalam jumlah yang banyak ke tempat yang berhampiran.
Individu yang kebetulan berada berhampiran di lokasi terbabit sempat merakam video kejadian gunung berapi itu ‘meletus’ mengeluarkan lumpur dan video itu kemudiannya menjadi tular selepas dikongsikan orang ramai di media-media sosial.
Segelintir orang mengaitkan kejadian itu dengan kemungkinan berlakunya gempa bumi disebabkan kejadian gegaran semula jadi sudah menjadi perkara biasa di Sabah terutama selepas gempa bumi sederhana yang berlaku pada tahun 2015 yang bermagnitud 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu.
Seorang pakar geologi Sabah, Prof Dr Felix Tongkul tampil menjelaskan bahawa fenomena letusan gunung berapi lumpur itu merupakan perkara biasa yang berlaku apabila tekanan lumpur dalam bumi meningkat dan perlu dilepaskan.
“Keadaan ini berulang bila tekanan terkumpul pada sesuatu masa tertentu. Kejadian volkano lumpur seperti ini (lebih aktif) kadang-kadang berlaku semasa kejadian gempa bumi,” jelasnya.
Fenomena gunung berapi lumpur rupanya bukan sesuatu yang baru di Sabah kerana selain di Tabin, fenomena itu juga boleh ditemui di daerah lain dengan antara yang popular di Taman Pulau Tiga, Kuala Penyu.
VIDEO:
Pulau Tiga yang menjadi salah satu lokasi tarikan pelancongan di Sabah dikatakan terbentuk hasil daripada letusan gunung berapi lumpur yang berlaku pada 1897 berikutan gempa bumi di Mindanao, selatan Filipina.
Sumber: Harian Metro