Sesat Di Kawasan Pergunungan, Pendaki Diselamatkan Seekor Kucing Yang Tiba-tiba Muncul Entah Dari Mana. Kucing kebiasaanya sangat manja. Kalau boleh mereka mahu selalu dekat dengan tuan mereka, bersosial dan meluangkan masa dan bermain bersama.
Tetapi ada juga kucing yang lebih suka untuk bersendirian, tidak mahu bergaul dengan tuan atau kawan mereka yang lain sehingga membuatkan adakalanya tuan mereka bingung tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk menarik perhatian kucing mereka.
Lain pula dengan kes kucing yang digelar hero ini. Dia nampaknya bukan seperti kucing lain yang suka bermanja, tetapi dia telah muncul sebagai pahlawan dengan menyelamatkan seorang pendaki di pergunungan Switzerland. Cerita penuh detik cemas ini diceritakan oleh seorang warganet melalui akaun Reddit miliknya.
Dia menceritakan bahawa dia adalah seorang pendaki gunung di Pegunungan Alps Switzerland tidak lama dahulu.
Menurutnya, pengembaraannya di pergunungan itu dilakukan tidak jauh dari sebuah kampung bernama Gimmewald. Namun, entah bagaimana tiba-tiba dia mendapati bahawa dirinya sesat di dalam hutan tersebut.
Kawasan pergunungan yang sungguh cantik di mana dia tersesat ketika mendaki. Apa yang lebih mencemaskan ialah semasa dia tersesat cuaca sedang berada dalam keadaan sangat sejuk memandangkan musim sejuk ketika itu. Cuaca yang begitu sejuk boleh membuatkan seseorang mengalami hipotermia yang sememangnya akan memberi kesan buruk kepada tubuh.
Dia kemudian memutuskan untuk berpatah balik namun ketika itu dia mendapati bahawa jalan untuk balik semula ke kampung tersebut telah ditutup dan jika dilihat pada peta tiada lagi jalan lain yang boleh diikut untuk membolehkan dia kembali semula.
Dia mula panik, dia kemudian duduk seketika untuk melepaskan penat dan memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas itu. Ketika itulah muncul seekor kucing entah dari mana yang akhirnya membantunya menemui jalan pulang.
Kucing itu juga nampaknya sedar akan pendaki itu. Dia kemudian berjalan ke arahnya dan duduk di sebelahnya. Si comel itu juga dikatakan sangat mesra dengan orang walaupun dia tidak mengenali pendaki tersebut.
Dia nampaknya tidak malu-malu bertemu dengan orang asing. Mungkin kerana selalu berjumpa dengan pelancong yang datang mendaki membuatkannya tidak malu berhadapan dengan orang yang tidak dikenalinya.
Mungkin kerana selalu terjumpa pelancong di pergunungan itu membuatkan kucing ini mesra dengan sesiapa sahaja yang ditemuinya. Selepas beberapa ketika duduk di situ, si comel itu kemudian mula berjalan melalui laluan pendaki.
Menurut pendaki ini, kucing tersebut sering berhenti dan melihat ke belakang. Mungkin dia mahu memastikan bahawa pendaki itu masih ada di belakang, mengikuti jejak langkahnya.
“Dia seolah-olah mengajak saya untuk mengikutinya.” Pendaki itu terus mengikut jejak langkah si comel ini. Apa yang mengagumkan dia terus dibawa menuju ke asrama di mana pendaki itu menginap. Tidak sangka pendaki itu akhirnya menemui jalan pulang dengan dibantu oleh si comel ini!
Rupa-rupanya kucing itu adalah kucing kepada pemilik asrama di mana dia menginap. Bukan itu sahaja, kucing itu rupa-rupanya memang disukai dan disayangi oleh kebanyakkan pelancong yang datang ke situ terutama buat mereka yang pernah tersesat!