Apa yang anda akan lakukan jika anda tiba-tiba sahaja mendapat hampir RM800 Ribu duit yang dimasukkan ke akaun bank anda? Kisah ini berlaku baru-baru ini di Chile yang melibatkan seorang pekerja lelaki di syarikat pengeluar ubat terbesar di Chile, Consorcio Industrial de Alimentos (Cial).
Dipendekkan cerita, lelaki ini yang sepatutnya menerima gaji bulanan sebanyak 500,000 peso (kira-kira RM2,389) tetapi disebabkan kesilapan yang berlaku, dia telah menerima 165,398,851 peso Chile (kira-kira RM790,364) yang dimasukkan ke dalam akaunnya.
Selepas kesilapan tersebut dikesan dan pekerja itu dimaklumkan, dia bagaimanapun berjanji untuk memulangkan semula duit yang diterimanya secara berlebihan daripada yang sepatutnya.
Seseorang di Jabatan Sumber Manusia syarikat tersebut sudah pasti sedang panik memikirkan kesilapan yang berlaku.
Dilaporkan pada 30 Mei, seorang pembantu pejabat di syarikat pengeluar ubat tersebut telah menghubungi timbalan pengurus untuk melaporkan kesilapan yang dilakukan dalam pembayaran gaji bulanan pekerja.
Selepas siasatan dilakukan, memang terbukti ada pembayaran gaji membabitkan berjuta-juta peso yang perlu diperjelaskan.
Namun apa yang berlaku kemudiannya adalah pekerja lelaki tersebut telah meletakkan jawatan dan menghilangkan diri meskipun pada awalnya sudah dimaklumkan dan sudah berjanji untuk memulangkan wang terbabit.
Susulan itu, syarikat berkenaan menemui jalan buntu dan terpaksa menggunakan tindakan undang-undang dalam percubaan untuk memulihkan kerugian syarikat. Bekas pekerja mereka pula masih belum dapat dikesan sehingga kini.