Sebelum ini isterinya Nordiana Arshad, 38 sering merungut apabila Mohd Khairul Ibrahim, 39 kerap kali keluar memancing dan jarang berada di rumah.
Namun rungutan itu sudah reda malah si isteri sudah mampu tersenyum berkongsikan kejayaan suaminya yang meraih hadiah bernilai RM30,000 pada Pertandingan Memancing Sempena Hari Belia di Tasik Taman Rekreasi Durian Daun, Melaka.
Dalam pertandingan tersebut, suaminya telah berjaya menaikkan ikan keli seberat 5.23 kilogram pada jam 9.25 pagi dan sekaligus membolehkan Mohd Khairul Ibrahim memenangi hadiah utama.
Menurut isterinya, dia sudah kerapkali mengingatkan suami agar tidak kerap keluar memancing di beberapa kolam pancing sekitar daerah. Namun begitu minat mendalam suami terhadap aktiviti memancing itu menyebabkan dia jarang berada di rumah.
“Kadang-kadang saya marah juga suami selalu keluar memancing tetapi apakan daya, sudah minat dia begitu dan hari ini minat suami terbayar dengan kemenangan,” ujar isterinya.
Dalam pertandingan yang disertai 800 peserta tersebut, Mohd Khairul Ibrahim memenangi hadiah utama bernilai RM30,000 manakala tempat kedua pula dimenangi Syamsul Ahmad, 38, dengan wang hadiah sebanyak RM5,000 dan tempat ketiga dimenangi Md Rafizi Senin, 51, dengan wang tunai RM3,000.
“Alhamdulillah, hari ini Allah murahkan rezeki saya dan ia adalah satu-satunya ikan yang berjaya saya naikkan dalam pertandingan ini,” kata Mohd Khairul.
Dalam pertandingan tersebut, Mohd Khairul menggunakan cacing sebagai umpan dan ketika jam 9.20 pagi, ia merasakan ada tarikan pada tali tangsi jorannya dan dia pun bermain-main dengan joran agar ikan itu lemah.
Selepas 5 minit kemudian dia berjaya menaikkan ikanĀ keliĀ seberat 5.23 kilogram itu. Dia bagaimanapun tidak menyangka bahawa ikan keli itu adalah ikan yang paling berat diperoleh dalam pertandingan memancing itu.
Tambah Mohd Khairul lagi, ini adalah kali pertama dia memenangi pertandingan di negeri Melaka. Meskipun pernah menyertai banyak pertandingan sebelum ini, yang pernah dia dapat adalah hamper cabutan bertuah.