“Saya pada mulanya ingat benda itu sampah tapi sangat terkejut apabila diberitahu ayah ia adalah muntah ikan paus,” kata Aida Zurina Long.
Aida, 41, berkata, dia menemukan ketulan lilin yang dipercayai muntah ikan paus itu ketika sedang memancing bersama keluarganya berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Kemajuan Ikan Malaysia LKIM, Marang, akhir November lalu.
“Saya temui objek itu terapung kira-kira 11 malam. Saya ingat sampah dan saya tarik benda itu dengan kayu dan menariknya ke tepi tebing.
“Keesokan harinya saya pergi semula ke kawasan itu, benda itu masih ada sebelum saya mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kemasik.
Menurutnya, sebaik menunjukkan benda pelik terbabit kepada ayahnya, dia sungguh terkejut apabila ayahnya yang juga seorang nelayan memaklumkan benda yang ditemui itu adalah muntah ikan paus.
“Saya sangat terkejut kerana ayah mendakwa objek yang saya jumpa itu itu jarang ditemui di negara kita.
“Ayah cuba membakar sedikit objek itu dan benda itu meleleh seperti lilin serta mengeluarkan bau yang wangi,” katanya yang juga seorang pengusaha sebuah kedai makan di Kemasik.
Katanya, dia kemudiannya membuat rujukan di internet dan mendapati objek yang ditemui itu mungkin muntah ikan paus dan mempunyai nilai yang tinggi.
“Saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak untuk menjalankan ujian untuk menentukan kesahihan dan kualiti terhadap benda yang saya temui ini.
“Saya tahu kos untuk menjalankan ujian makmal adalah tinggi dan saya sanggup bekerjasama demi mengesahkan ketulenannya,” katanya.
Aida berkata, dia tidak pernah tahu bahawa muntah paus ini adalah benda yang dicari dalam perusahaan minyak wangi.
Muntah ikan paus atau ambergris pernah ditemukan oleh seorang nelayan di Pantai Niyom Surat Thani, Thailand Februari lalu.
Sumber: Harian Metro