Kebelakangan ini, beberapa kawasan di wilayah di Jawa Barat, Indonesia dilanda hujan lebar sehingga menyebabkan banjir kilat. Antara kawasan yang dilanda banjir kilat adalah di daerah Garut.
Namun begitu, sebaik sahaja banjir surut, penduduk di daerah Garut digemparkan dengan penemuan ikan gergasi yang tidak dikenali. Ikan gergasi itu ditemui terdampar di tengah-tengah kawasan perumahan apabila banjir sudah surut.
Berdasarkan video perkongsian yang menjadi tular, rata-rata penduduk dilihat berpusu-pusu datang melihat ikan tersebut dengan mata mereka sendiri.
Ikan gergasi itu dikatakan telah ditemui oleh para penduduk di kawasan Cipejeuh berhampiran Dayeuhandap di sungai Cipejeuh. Ketika itu air sungai dilaporkan telah melimpah akibat hujan lebat sejak Jumaat, 15 Julai 2022.
Beberapa orang penduduk cuba untuk mengalihkan ikan itu ke tepi jalan, namun berdepan dengan kesukaran kerana saiz ikan itu yang terlalu besar dan terlampau berat.
Salah seorang penduduk memberitahu bahawa ikan itu adalah ikan Arapaima iaitu spesis ikan yang biasanya ditemui di sungai Amazon. Seorang penduduk lagi memberitahu ikan itu merupakan salah satu mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Walaupun begitu, meskipun video dan gambar ikan tersebut menjadi tular dan dikongsikan oleh ramai orang, namun sehingga kini belum ada pengesahan lanjut berhubung kesahihan berita penemuan ikan tersebut.
VIDEO:
Sungai Amazon merupakan sungai terbesar di dunia dan terletak di Amerika Selatan.
Jika anda masih ingat, suatu ketika dahulu juga pernah dilaporkan penemuan ikan Arapaima di Malaysia.