Gadis Indonesia Jadi Jutawan Sekelip Mata Mewarisi Harta Bapa Kandung Yang Rupanya Bekas Penyunting BBC Dan Telah MeninggaI.
Seorang remaja perempuan dari Indonesia mendapat rezeki terpijak apabila mewarisi harta daripada bapa kandungnya yang tidak pernah dikenalinya berjumlah 400,000 pound (RM2.32 juta).
Misteri ‘anak rahsia’ kepada penyunting BBC itu mewarisi semua harta bernilai ratusan ribu pound terbongkar selepas dia meninggal dunia.
Portal Mirror melaporkan usaha mengesan pewaris harta itu dilakukan pihak berkuasa selepas lelaki itu, Alexander Thomson, 71, yang juga bekas penyunting BBC World Service di Afrika Timur meninggal dunia tahun lalu akibat barah paru-paru.
Lelaki itu didakwa belum pernah berkahwin secara sah, tidak diketahui saudara- maranya yang terdekat sekali gus menyebabkan pihak polis terpaksa menyiasat untuk mencari anak yang mungkin dimilikinya.
Bagaimanapun, dilaporkan Thomson yang dilahirkan di Singapura pernah mengadakan majlis perkahwinan, tetapi tidak mengikut undang-undang yang sah di Indonesia dan mempunyai seorang anak perempuan dilahirkan pada 2006.
Pihak polis mengesan gambar seorang gadis berusia 15 tahun dari Indonesia yang bakal mewarisi harta yang ditemui dalam bilik tidur mangsa di Ramsgate.
Antara barang-barang lain yang ditemui adalah pasu berharga 20,000 pound (RM116,075) artifak China termasuk bangku bernilai 2,200 pound (RM12,768).
Nama remaja itu tidak didedahkan dan dilaporkan turut mewarisi sebuah rumah tiga bilik di Kent, kapal layar dan banyak barang antik serta artifak China.
Penyelidik dari Finders International yang berpusat di London bersama pakar yang diupah di Indonesia mendapati Thomson mempunyai seorang anak perempuan dengan seorang wanita yang dipercayai dikahwini di negara itu.
Danny Curran, pengarah urusan Finders International turut mengesahkan mengenai penemuan itu.