Macam mana benda tu boleh masuk dalam perut? Sekumpulan doktor di hospital berdepan dengan keadaan yang amat sukar dijelaskan dan membuatkan mereka semua bingung.
Hal ini kerana seorang lelaki yang datang ke hospital didapati telah menelan sebuah gelas masuk ke dalam perutnya!
Menurut cerita lelaki berusia 55 tahun berkenaan, insiden tersebut berlaku ketika dia sedang minum teh dan secara tidak sengaja tertelan gelas yang digunakannya!
Akibatnya, lelaki ini akhirnya terpaksa menerima rawatan di hospital swasta di Madipur, Bihar, India.
Pada mulanya, lelaki berkenaan dimasukkan ke hospital kerana sakit perut yang teruk dan sembelit. Namun ketika doktor membuat pemeriksaan ujian ultrabunyi dan sinar-X terhadapnya, mereka telah mendapati berlaku ‘gangguan serius’ dalam usus dan mendapati puncanya adalah disebabkan sebuah gelas kaca.
Pakar bedah cuba mengeluarkan gelas tersebut dari bahagian rektum lelaki berkenaan menerusi prosedur endoskopik, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, gelas tersebut terpaksa dikeluarkan dari perut pesakit melalui pembedahan.
Meskipun lelaki tersebut mengaku tertelan gelas berkenaan, namun para doktor dan pakar masih tertanya-tanya bagaimana gelas sebesar itu boleh ditelan masuk melalui mulut.
Lelaki berkenaan bagaimanapun dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas gelas berjaya dikeluarkan oleh doktor dari dalam perutnya.