Sebut sahaja perkahwinan, sudah pasti kita akan menyangkakan ianya adalah diantara pasangan lelaki dan perempuan bukan. Namun lain pula cerita yang berlaku di negara Mexico baru-baru ini.
Malah yang lebih mengejutkan bahawa seorang lelaki yang bergelar Datuk Bandar juga terlibat. Victor Hugo Sosa, Datuk Bandar di bandar kecil Mexico San Pedro Huamula mengejutkan orang ramai di serata dunia apabila ‘berkahwin’ dengan seekor aligator yang berusia 7 tahun dalam satu upacara yang diadakan.
Menurut Agensi Analodu, perkahwinan tersebut dilakukan bagi meraikan asal usulnya dan meminta nasib baik untuk masyarakat setempat.
Perkahwinan Datuk Bandar dan aligator tersebut diraikan pada Khamis dengan muzik rakyat dari salah satu wilayah Mexico yang paling kaya dengan budaya dan kepelbagaian, tradisi yang biasa kepada penduduk Chontales dan Huaves di San Mateo del Mar yang juga merupakan tempat asal Victor Hugo Sosa.
Aligator tersebut turut dipakaikan pakaian ‘kahwin’ berwarna putih
“Perkahwinan saya dengan binatang, tradisi ini unik di bandar kami… ia menandakan penyatuan dua budaya, orang Huave di San Mateo del Mar dan bandar kami San Pedro Huamelula, penyatuan dua budaya,” kata Hugo Sosa.
Menurut ritual penduduk setempat, perkahwinan antara ‘dewa’ dan pemimpin komuniti mewakili kesatuan antara ketuhanan dan kemanusiaan. Ianya juga menunjukkan sinkretisme yang biasa berlaku di seluruh komuniti orang asli dan budaya Mexico.
Difahamkan di negeri Oaxaca yang terletak di tenggara Mexico, terdapat 13 komuniti orang asli yang berlainan.
Penduduk Huave berasal dari Mexico pra-Hispanik, dengan beberapa sumber menunjukkan komuniti itu berasal dari Nicaragua.
Berbeza dengan budaya lain yang menentang pencerobohan Sepanyol, orang asal Huave dikatakan kononnya mempunyai hubungan baik dengan penceroboh Sepanyol.
Lebih tujuh juta orang penduduk Mexico yang berumur 3 tahun keatas yang bertutur bahasa asli dan ini mewakili sekitar 6.1 peratus daripada jumlah penduduk berdasarkan bancian pada tahun 2020. Selain itu, data juga menunjukkan 11.8 juta orang tinggal dalam isi rumah orang asli.