Gara-gara seekor burung kakaktua, seorang lelaki nyaris dipenjarakan kerana rahsia hubungan sulitnya didedahkan oleh burung kakak tua peliharaannya. Ini kerana burung kakak tua itu berulangkali meniru ungkapan cinta antara lelaki itu dan pembantu rumah di hadapan isterinya.
Menurut laporan New York Post pada 10 November 2021, kejadian itu berlaku pada tahun 2016 ketika burung pembongkar rahsia itu kerap berkicau kata-kata manis dan lincah yang tidak pernah diungkap suami kepadanya.
Rupa-rupanya si suami mengungkapkan kata-kata tersebut kepada pembantu rumah mereka dan burung itu mengajuk kata-kata yang diucapkan sekali gus menimbulkan rasa curiga isterinya, lapor laman berita Arab Times Online.
Si isteri sebelum itu memang mengesyaki suaminya ada hubungan dengan pembantu rumah mereka. Apabila burung itu mula mengulangi ungkapan cinta yang dia percaya perbualan suaminya dengan pembantu rumah terbabit, si isteri membuat laporan polis.
Menjalinkan hubungan secara haram antara lelaki dan wanita dianggap perbuatan jenayah di Kuwait dan pesalah boleh dihukum penjara atau kerja keras.
Bagaimanapun, lelaki itu bernasib baik kerana pihak berkuasa enggan menerima kakaktua itu sebagai saksi kerana tidak ada bukti untuk menunjukkan burung itu tidak meniru perbualan dalam rancangan radio atau televisyen.
Kes itu ditolak walaupun si isteri berkata, dia memang mengesyaki suaminya curang kerana setiap kali pulang kerja secara mengejut, suaminya kelihatan cemas.
Ini bukan kali pertama burung kakaktua mengadukan pemiliknya kerana menjalin hubungan sulit. Pada tahun 2006, seekor burung bernama Ziggy mendedahkan kepada pemiliknya, Chris Taylor bahawa teman wanitanya, Suzy Collins tidak setia.
‘Saya sayang awak Gary’ kata burung itu yang mengajuk kata-kata Suzy mengenai kekasih gelapnya, demikian menurut laporan BBC.
Kredit: Kosmo!