‘Ayahanda’ Kawasan Tak Puas Hati Peniaga Burger Dedahkan Pusat Judi

SUNGAI BULOH: Pengusaha Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, mendakwa ada individu mengaku sebagai ‘Ayahanda’ menghubungi beliau menyatakan rasa tidak puas hati dengan tindakannya membuat pendedahan mengenai kegiatan judi sekitar Bandar Baru Sungai Buloh, kelmarin.arenagempak.com -  ‘Ayahanda’ Kawasan Tak Puas Hati Peniaga Burger Dedahkan Pusat Judi

Beliau berkata, individu berkenaan menghubunginya menerusi panggilan telefon bimbit, semalam.

“Individu berkenaan memberitahu dia tidak berpuas hati dengan tindakan saya mendedahkan mengenai kegiatan judi di kawasan ini dan menyatakan tindakan saya itu adalah salah, namun tiada ugutan diterima.

“Saya sudah merujuk perkara itu kepada polis ketika perjumpaan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, pagi tadi dan beliau memaklumkan akan melakukan siasatan,” katanya ditemui media selepas tinjauan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di sini, hari ini.

Ketika tinjauan itu, Mohd Asri menunjukkan lokasi yang didakwanya dijadikan sebagai premis judi dan rokok seludup di kawasan berkenaan.

Kelmarin, Mohd Asri membuat tiga siaran langsung menerusi akaun Facebook Hot Burger Malaysia dengan mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

Mohd Asri berkata, setakat ini tidak menerima sebarang ugutan berhubung pendedahan itu.

“Mungkin hari ini tiada apa-apa yang berlaku, namun bahaya itu akan datang kemudian kerana ketika ini isu masih ‘panas’.

“Saya percaya selepas perkara ini reda, pastinya ada risiko kerana mesti ada yang berdendam kepada saya. Saya serahkan semuanya kepada Allah SWT,” katanya.

Ditanya mengenai perjumpaannya bersama Ketua Polis Negara, beliau berkata, pertemuan itu diadakan empat mata.

 

“Abdul Hamid mengucapkan terima kasih kerana membantu menyalurkan maklumat kepada polis dan meminta saya menceritakan mengenai perkara yang berlaku.

arenagempak.com -  ‘Ayahanda’ Kawasan Tak Puas Hati Peniaga Burger Dedahkan Pusat Judi

“Dalam perjumpaan itu juga, Abdul Hamid memberikan kata-kata semangat kepada saya supaya tidak takut dalam mendedahkan perkara itu.

“Malah, Ketua Polis Negara juga memaklumkan akan membanteras kegiatan judi kerana beliau juga tidak suka aktiviti itu berleluasa di negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Asri berkata, beliau sudah dihubungi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, semalam, untuk diambil keterangan berkaitan laporan polis dibuat terhadapnya mengenai pendedahan itu.

“Saya sudah memaklumkan kepada polis (IPD Sungai Buloh) akan tampil ke balai bersama peguam dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

“Persoalan sama ada saya akan ditahan atau tidak selepas mengambil keterangan nanti, itu saya tidak tahu. Namun, saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan telefon bimbit miliknya diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjadi agensi pertama menghubungi beliau berkaitan pendedahannya.

Namun, katanya sehingga hari ini beliau belum dihubungi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). – Berita Harian

Facebook Comments Box

Leave a Reply